Parti Warisan mengambil kata putus bagi bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun jumlah kerusi masih lagi dirahsiakan.
Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, jumlah kerusi akan diumumkan pada masa yang sesuai, kerana pihaknya masih lagi berbincang mengenai hal berkenaan.
“Setakat ini, jumlah kerusi belum lagi diputuskan dan ia akan diumumkan pada masa yang sesuai,” katanya kepada media semalam.
“Namun, perkara ini (solo atau kerjasama dengan parti lain) akan dilihat mengikut keadaan…ingin kita dampingi ialah mereka yang menentukan siapa yang memerintah bukan sahaja Johor, bahkan Malaysia,” kata beliau.
Mengulas khabar angin berhubung bekas Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang menyertai Warisan, Mohd Shafie berkata buat masa ini, Mazlan hanya meluahkan keinginan untuk membantu Warisan.
Januari lepas, Mazlan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa mengumumkan keluar daripada Bersatu, namun tidak menyertai mana-mana parti ketika itu serta menyatakan sokongannya kepada Barisan Nasional (BN).
Pada majlis itu, Mohd Shafie turut mengumumkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup Suhaimi Salleh, sebagai Ketua Koordinator Warisan Johor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 12 Mac ini sebagai hari pengundian dengan penamaan calon pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac.
Tamat