Cukup menyedihkan, apabila masa depan remaja dilihat semakin hancur kini dengan perbuatan pelajar lelaki merogol pelajar wanita.

Seolah-olah pelajar lelaki kini hanya melihat wanita sebagai objek seks bukan lagi sebagai kaum ibu yang perlu dihormati.

Itu yang berlaku apabila istilah teman lelaki dan teman wanita mula menjadi biasa di kalangan pelajar sekolah.

Menjadi keresahan masyarakat apabila seorang pelajar tingkatan tiga didakwa merogol teman wanita yang berusia 14 tahun sehingga mengandung diberkas di sekitar Pandan Indah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada pertengahan bulan Disember tahun lalu.

“Ibu mangsa hanya menyedari bahawa mangsa tersebut dirogol selepas mengetahui anaknya mengandung pada Ahad lepas.

“Mangsa seorang pelajar perempuan berusia 14 telah berjumpa dengan suspek yang merupakan teman lelakinya di Pandan Indah dan mendakwa telah dirogol sebanyak dua kali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, susulan itu suspek yang berusia 15 tahun terbabit telah direman selama tiga hari bermula hari ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta sebatan,” katanya.

Tamat