Kuala Lumpur – Hati peniaga kembali berbunga apabila Bazar Ramadan dan Aidilfitri dibenarkan untuk dibuka semula dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, semua bazar dibenarkan berlangsung seperti tahun lalu terutama Bazar Aidilfitri bagi memberi peluang kepada peniaga meraih pendapatan.

Setakat ini tiada sebarang arahan diterima daripada kementerian berkaitan untuk melarang pembukaan bazar di Kuala Lumpur.

“Jumlah berapa banyak bazar, kami belum ada lagi, namun secara amnya kita teruskan seperti tahun lalu terutama Bazar Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).

“Masih dengan sedikit kawalan SOP, tetapi tidak terlampau ketat seperti tahun sebelumnya.

“Untuk Bazar Aidilfitri di Jalan TAR dibuat secara undian dan ia sudah selesai, hanya tunggu pelaksanaan saja, manakala Bazar Ramadan kawasan seperti kita benarkan dan di lokasi anjuran persatuan penjaja.

“Kami pasti nanti akan ada rayuan, tetapi kita perlu tengok lokasi terlebih dulu,” katanya.

Mahadi berkata, bagaimanapun SOP di setiap bazar tidak akan seketat tahun sebelumnya, ada sedikit kelonggaran, namun diharap semua pihak tidak ambil mudah mengenai penularan jangkitan Covid-19.

Sekiranya wujud penularan atau kluster bazar, pihaknya akan mengikut arahan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Diharap semua dapat menjaga pematuhan SOP kerana untuk mencegah penularan tidak boleh bergantung kepada pihak berkuasa atau penguatkuasasan saja tapi termasuk semua pihak iaitu peniaga dan orang ramai,” katanya.

Tamat