Satu kajian baharu yang dilakukan oleh kumpulan penyelidik dari India mendapati pil antiviral molnupiravir berupaya mengurangkan risiko kemasukan ke hospital akibat jangkitan Covid-19 sebanyak 65 peratus.

New York Times melaporkan, kajian itu juga menyebut pil tersebut mempunyai tahap keberkesanan lebih tinggi berbanding penyelidikan sebelum ini.

Kajian yang diketuai oleh penyelidik dari Pusat Kajian Antiviral Chennai dan Pangkalan Penyelidikan Klinikal Rawatan membahagikan seramai 1,218 orang dewasa India yang dijangkiti Covid-19 dengan mereka yang mempunyai gejala ringan kepada dua kumpulan yang sama banyak.

Hanya 1.5 peratus daripada kumpulan yang mengambil pil itu perlu dimasukkan ke hospital berbanding 4.3 peratus daripada kumpulan yang tidak menerima ubat berkenaan.

Kajian oleh Merck iaitu syarikat yang menghasilkan pil itu dengan bantuan Didgeback Biotherapeutics pada tahun lalu mendapati, ia mampu mengurangkan risiko kemasukan ke hospital sebanyak 30 peratus.

Kajian terdahulu mempunyai sejumlah perbezaan yang menyukarkan saintis membuat perbandingan, menurut Naib Presiden Kanan Merck Research Laboratories, Dr. Eluav Barr.

Katanya, responden dalam kajian Merck berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi selepas disahkan positif Covid-19.

Penyelidikan itu juga dijalankan secara global termasuk bagi pesakit yang berdepan jangkitan ringan dan sederhana.

Bagaimanapun, kajian oleh India itu tidak menyasarkan pesakit berisiko tinggi.

Pil antiviral seperti molnupiravir dan Paxlovid keluaran Pfizer berpotensi digunakan lebih ramai pesakit berbanding rawatan antibodi yang digunakan secara meluas di Amerika Syarikat untuk pesakit Covid-19 berisiko tinggi.

Sejak pandemik Covid-19 berlangsung, para saintis sentiasa berharap rawatan mudah yang boleh didapati dengan preskripsi doktor dan di pasarkan di farmasi boleh diberikan kepada pesakit yang dijangkiti virus maut itu. – UTUSAN