Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur memerintahkan Ali Puteh selaku defenden bagi membayar sebanyak RM60,000 kepada Norhidayah iaitu balu Alllahyarham Abam Bocey berhubung laporan kes berpunca daripada hantaran Instagram yang didakwa menjatuhkan maruah dan mengaibkan isteri arwah dua tahun lalu

Memetik kata-kata Hakim Zulqarnain Hassan dalam prosiding mahkamah Jumaat lalu, perkataan dalam hantaran tersebut amat keras terhadap seorang wanita yang baru beberapa hari kematian suami.

“Itu adalah kata-kata yang amat keras dan melampau seolah-olah isteri arwah (plaintif) adalah spesies asing yang kerjanya merompak harta orang tanpa ada hati dan perasaan.

“Apatah lagi jika ditujukan kepada seorang wanita yang baru beberapa hari hilang tempat bergantung, masih bersedih dengan kematian pasangan hidup dan risau bagaimana ingin membesarkan anak kecil yang berusia lebih kurang setahun,” katanya.

Seorang wanita yang kehilangan suami pastinya terguris dengan kata-kata berkenaan, apatah lagi hilang tempat bergantung.

Pertembungan mula tercetus selepas Nor Hidayah memfailkan saman terhadap Ali sekeluarga dengan jumlah terkumpul mencecah RM900,000.

Kes saman-menyaman antara dua pihak berkenaan turut melibatkan isu harta peninggalan Arwah.

Saman yang difailkan Nor Hidayah antara lain menuduh Ali mengambil harta Abam Bocey dan harta anak yatim, selain tuntutan faraid, hak penjagaan anak dan tuntutan kereta.

Tidak memberi respons panjang usai keputusan mahkamah, Nor Hidayah, 29, yang matanya memantulkan rasa lega dan gembira, hanya memohon orang ramai mendoakan diri dan anaknya sentiasa melalui kehidupan dengan baik.

“Alhamdulillah puas hati (keputusan mahkamah) dan saya sudah rasa lega.pp

“Doakan yang terbaik untuk saya dan anak,” katanya ringkas.

Tamat