Berita perletakan jawatan Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Setiausaha dan Ahli Majlis Syura Ulama PAS sudahpun diketahui umum.

Baru-baru ini Dr Khairuddin telahpun diumumkan oleh beliau sendiri sebagai Setiausaha MSU Pas dibuat mengikut peruntukan perlembagaan parti di bawah Fasal 8(7).

“Saya dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Syura Ulamak (MSU) Pas yang diadakan secara hibrid pada malam semalam, 20 Februari, jam 9 malam sebagai ahli dan Setiausaha MSU.

“Pada mesyuarat berkenaan, saya mengumumkan peletakan jawatan atau pemberhentian sebagai Setiausaha MSU berdasarkan peruntukan Perlembagaan Pas Fasal 8(7).

“Saya juga meletakkan jawatan atau pemberhentian sebagai Ahli MSU berdasarkan peruntukan Perlembagaan Pas Fasal 8(5),” katanya.

Menurutnya beliau turut merakamkan perhargaan kepada parti Pas yang memberi peluang untuk beliau berkhidmat sebagai ahli MSU Pas sejak tahun 2013 dan seterusnya dilantik sebagai Setiausaha MSU sejak 15 Disember 2020.

“Rakaman jutaan terima kasih juga kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Haji Hashim Jasin dan semua Ahli MSU yang telah bertindak selaras dengan Perlembagaan Pas untuk mengelakkan sebarang krisis perlembagaan parti,” jelasnya.

Mohd. Khairuddin berkata, beliau akan terus menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen Pas dan tugasan-tugasan lain dalam parti.

Tamat