“Itu hak dia, nak sumpah atau tidak. Bagi saya, saya bercakap yang benar”.

Demikian tegas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulas mengenai sumpah laknat oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Sumpah laknat tersebut susulan dakwaan oleh Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebelum ini berhubung Ahmad Zahid ada bertemu dengannya bagi meminta bantuan melibatkan kes mahkamah dihadapinya.

Muhyiddin berkata, beliau juga mempunyai bukti dan saksi berhubung perkara tersebut. 

“Nak cakap pada rakyat, jangan berbohong. Ada bukti saya tunjuk malam itu saksinya. Tetapi kalau dia nak sumpah, berapa kali sumpah, sumpahlah. Itu terserah kepada dia. Saya tidak akan bersumpah kerana saya tidak pernah berbohong. Apa yang saya sebut itu adalah hak. Hak betul walaupun yang betul itu kadang pahit didengar,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang turut ditayangkan secara maya di sini hari ini.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, kenyataannya sebelum ini bukan direka dengan sengaja kerana politik.

“Saya sebut apa yang saya sebut, itulah hak suatu yang benar. Bukan suatu direka sengaja kerana politik nak pilihan raya, tidak. Apa situasi sekarang pun, kita akan nyatakan perkara betul dan harap rakyat faham apa yang saya jelaskan itu,” katanya. 

Menerusi ucapan Muhyiddin di Pentas PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh di Felda Tenggaroh 3 baru-baru ini, beliau dipetik berkata, beliau menerima kunjungan Ahmad Zahid beberapa hari selepas dilantik menjadi Perdana Menteri.

Muhyiddin dilaporkan berkata, Ahmad Zahid datang ke rumahnya membawa satu fail bertimbun-timbun (dokumen) sewaktu beliau sedang berbincang dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Susulan itu, media melaporkan, Ahmad Zahid dilaporkan sanggup dan bersedia untuk melakukan sumpah laknat sebagai penafian terhadap tuduhan dibuat oleh Muhyiddin. – UTUSAN