Tergamak seorang wanita ‘berlakon’ selama sembilan bulan sambil memakai perut tiruan bagi memohon cuti bersalin di sebuah agensi tempatnya berkerja.

Namun itulah yang berlaku, apabila Robin Folsom, 43, memberitahu ketua di organisasi dia bekerja, Agensi Pemulihan Vokasional Georgia bahawa dia sedang hamil. Dia juga telah memohon kebenaran untuk cuti bersalin.

Nasib tidak menyebelahi Folsom apabila modus operandinya kantoi terbongkar apabila beberapa rakan sekerjanya menyedari bahawa kandungan wanita itu kelihatan seperti terpisah daripada perutnya.

Menurut kenyataan dikeluarkan pejabat Ketua Inspektor Negeri Georgia, Scott McAfee, siasatan mendapati bahawa pada Mac 2021, seorang rakan sekerja yang memerhatikan perut Folsom menyedari kandungan wanita itu mencurigakan.

Ia membuatkan individu tersebut percaya bahawa Folsom memakai perut hamil palsu.

Wanita itu juga dikatakan mereka cerita bahawa bapa kepada bayi yang dikandungnya bernama Bran Otmembebwe.

“Kami tidak mempunyai sebarang bukti yang menunjukkan lelaki itu wujud,” kata McAffee.

Tambah beberapa rakan sekerja Folsom, selepas mengaku telah melahirkan anak, wanita itu ada menghantar gambar-gambar ‘bayinya’ kepada mereka dengan menggunakan wajah bayi yang berbeza.

Folsom didakwa dengan tiga kesalahan membuat kenyataan palsu dan satu kesalahan penipuan identiti selepas menerima pendakwaan juri. – AGENSI

Tamat