Dalam usaha melindungi wilayah negaranya, tentera Ukraine mengambil tindakan menembak jatuh lima pesawat dan sebuah helikopter tentera Russia di wilayah Lushank.

Ini kerana serangan tentera Russia kini semakin meningkat di kawasan sempadan negara itu dan Belarus dengan Ukraine.

Ukraine dihujani tembakan artileri dan kemaraan tentera mengikut jalan darat di sepanjang sempadan utara dan selatan, dengan pasukan tentera Ukraine membalas tembakan.

Menurut pengawal sempadan lagi, pasukan tentera Russia kini disokong Belarus dan serangan dilancarkan dari Crimea, wilayah semenanjung yang dikuasai Russian di selatan Ukraine.

“Serangan terhadap unit di sempadan, pos kawalan sempadan, dan pusat pemeriksaan dilakukan menggunakan artileri dan senjata kecil.

“Pihak musuh juga dikesan cuba mensabotaj dan menghantar pasukan pemantau bagi melakukan intipan,” kata pengawal sempadan.

Kementerian Luar Ukraine pula mengeluarkan kenyataan bahawa pekan Shchastya, yang sebelum ini dikuasai kerajaan, kini jatuh ke tangan puak pemisah yang menguasai kawasan persempadanan di timur.

Sementara itu di Brussels, Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg, mengecam serangan melulu tanpa provokasi oleh Russia ke atas Ukraine berikutan banyak nyawa berada dalam bahaya.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya serangan melulu dan tanpa provokasi Rusia ke atas Ukraine yang membahayakan nyawa orang awam yang tidak terkira banyaknya.

“Sekutu NATO akan bertemu untuk menangani akibat daripada tindakan agresif Rusia dan kami berdiri bersama rakyat Ukraine.

“NATO akan melakukan segala yang diperlukan untuk melindungi dan mempertahankan semua sekutu,” katanya.

Tamat