Akibat keadaan semakin meruncing di Ukraine, kerajaan Malaysia kini dalam proses memindahkan 11 rakyat yang masih berada di sana .

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, kedutaan sudahpun mengesan mereka untuk proses pemindahan.

“Kedutaan Besar Malaysia (di Kyiv) kini lsedang berhubung dengan rakyat Malaysia. Mereka yang berada di luar Kyiv sedang dalam perancangan untuk keluar. Mereka yang berada di Kyiv akan berkumpul di Kedutaan,” katanya dan menambah bahawa lapan rakyat Malaysia di Kyiv, manakala selebihnya berada di luar dari ibu kota tersebut.

“Keutamaan kerajaan adalah keselamatan rakyat,” katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatan rasmi dua hari di sini hari ini.

Dilaporkan Ukraine mengumumkan pada Khamis, penutupan ruang udaranya untuk kegunaan awam, disebabkan ‘risiko tinggi’ terhadap penerbangan awam.

Difahamkan pelan pemindahan untuk rakyat Malaysia adalah menerusi jalan darat ke Poland, yang mungkin akan mengambil masa 10 jam meliputi perjalanan 782 kilometer.


Difahamkan Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv kini berhubung dengan pihak berkaitan di Warsaw dan meminta bantuan mereka untuk membantu dalam pergerakan melintasi sempadan.

Sementara itu Ismail Sabri dalam ciapan di twitternya berkata; “Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv kini berusaha memberikan perlindungan dan menyediakan tempat selamat untuk rakyat Malaysia sebelum mereka dapat pulang ke Malaysia.”

Tamat