KLUANG, 26 Feb — Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap menyaksikan pertembungan antara Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang merupakan cicit kepada pengasas UMNO Allahyarham Datuk Onn Jaafar.

Selain kedua-dua calon itu, persaingan di kerusi DUN sama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor itu juga disertai Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Johor Azlisham Azahar yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan R.Sangaran daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Shahruddin merupakan anggota Parlimen Sri Gading dan bekas Timbalan Menteri Kerja Raya manakala Onn Hafiz adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Layang-Layang serta bekas Exco Pelancongan, Belia dan Sukan negeri.

Pencalonan keempat-empat mereka diumum oleh Pengurus Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Mohd Faiz Mohd Salleh di Pusat Penamaan Calon DUN Machap di Dewan Orang Ramai Simpang Renggam di sini hari ini dengan memaklumkan borang pencalonan pertama dikemukakan oleh Sangaran pada 9.04 pagi, diikuti Shahruddin pada 9.07 pagi.

Onn Hafiz pula mengemukakan borang pada 9.15 pagi manakala Azlisham pada 9.19 pagi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DUN Machap menyaksikan Abd Taib Abu Bakar daripada UMNO hanya menang dengan majoriti tipis 404 undi ke atas Ahmad Ahem (PH-Bersatu) dan Azlisham (PAS).

Ketika ditemui pemberita, Onn Hafiz, 43, berkata beliau akur dengan keputusan pucuk pimpinan UMNO dan BN untuk beliau tidak mempertahankan kerusi DUN Layang-Layang dan beralih ke kerusi DUN Machap kali ini.

“Saya yakin bahawa pengundi DUN Machap dapat menilai sendiri parti yang benar-benar boleh berkhidmat kepada rakyat,” katanya yang juga anak saudara kepada Bendahari Agung UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Berbekalkan pengalaman sebagai Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin, 66, pula yakin dapat meraih sokongan pengundi di Machap termasuk orang muda.

“Saya memang dibesarkan di Simpang Renggam. Saya dulu belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Renggam. Jadi, tiba masa untuk saya berbakti di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Azlisham berkata beliau akan bekerja kuat supaya PN dapat membentuk kerajaan di Johor manakala Sangaran, 32, pula tidak gentar meskipun berdepan pencabar yang berpengalaman luas dalam arena politik tanah air.

Sangaran yang merupakan seorang peguam berkata beliau menceburi politik dengan harapan untuk mengubah landskap politik tanah air.

Sumber – BERNAMA

Advertisement