Disebabkan keadaan banjir di Kelantan Dan Terengganu kini dilihat bertambah buruk, netizen mula teringatkan susuk tubuh Abang Viva, yang acap kali disebut-sebut dulu.

Ini kerana ratusan mangsa kini terpaksa memanjat ke bukit-bukit untuk melindungi diri, serta ada yang berlindung di atas bumbung rumah setelah air menenggelamkan semuanya.

Bantuan untuk perpindahan ke lokasi selamat dibuat secepat mungkin tapi masih lagi tidak dapat mengandungi paras air yang semakin tinggi.

Oleh sebab itu, menerusi media sosial Facebook, ramai yang mulai memetik nama Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar untuk tampil membantu mereka yang sedang menghadapi bencana banjir tersebut.

Beberapa akaun Facebook khususnya warga Pantai Timur telah meminta agar Azwan segera membantu mereka yang masih terkandar berikutan air bah yang tiba-tiba meninggi.

Menjengah ke salah satu posting warganet di Facebook, ada satu tangkapan skrin perbualan menerusi direct message (DM) yang dimuat naik oleh Farah Rusdi memaklumkan Azwan sedang bersiap-siap menuju ke lokasi banjir.

Dia juga dilihat membalas mesej tersebut dengan mengucapkan terima kasih kerana memberikan info berkaitan banjir yang sedang berlaku.

Untuk makluman Abang Viva telah diangkat sebagai ‘hero’ susulan menjadi antara individu terawal hadir memberikan bantuan secara sukarela semasa bencana banjir yang melanda Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan tempoh hari.

Dia yang datang dari Melaka dengan membawa Perodua Viva serta bot penyelamat telah membantu ramai mangsa banjir yang terkandas di kediaman masing-masing.

Tamat