Walaupun trak bantuan yang dinaiki hampir tenggelam dan terbalik, namun ianya tak mematahkan semangat ADUN Ajil, Maliaman Kassim bagi turun padang menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir.

Walaupun ketika itu, beliau berserta Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu hampir tenggelam kerana dibadai arus deras, namun sebagai pemimpin amanah kerja untuk rakyat ditimpa kesusahan perlu diteruskan.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.15 petang pada Ahad ketika beliau bersama 13 anggota APM menyertai operasi menghantar bantuan makanan mangsa banjir di Kampung Bukit Biah, di sini.

“Saya merasai pengalaman yang mendebarkan kerana lori yang saya dinaiki bersama anggota APM dibawa arus deras dan terbalik di tepi jalan betul-betul di sungai Kampung Lembah.

“Waktu tu saya hanya mampu berdoa agar dimudahkan urusan kerana ketika itu arus air cukup laju dan hampir menenggelamkan lori yang kami naiki,” katanya.

Maliaman bagaimanapun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dan mereka berjaya diselamatkan anggota penyelamat yang tiba bersama bot 15 minit kemudian.

“Saya bersyukur semuanya selamat namun agak terkilan kerana barang bantuan untuk banjir seperti makanan, pakaian semuanya dibawa arus deras, kenderaan logistik juga tidak dapat diselamatkan.

“Saya sangat memohon maaf kerana gagal menghantar barang keperluan barangan untuk mangsa banjir tadi,” ujarnya.

Tamat