Harimau Selatan mengaum setelah menjinakkan Kuala Lumpur FC dengan mata 3-0  membuktikan pemilik kelab itu, Tuanku Mahkota Johor, Tuanku Ismail Sultan Ibrahim bukan sekadar cakap kosong.

Kemenangan pada perlawanan sumbangsih cukup menunjukkan siapa harimau selatan selepas berjaya menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

Beraksi di laman sendiri JDT kekal dengan formasi 3-4-3 merobek kubu lawan dengan pantas dengan serangan bertalu-talu, sehingga mencipta 3 gol padu, cukup menghantar pulang The Boys.

Minit ke-26 menyaksikan bola hantaran Ariff Aiman daripada posisi sayap kanan selepas bijak mengelirukan Declan Lambert sebelum menyepak bola tepat kepada Nazmi Faiz Mansor yang menanduk bola tepat ke penjuru kanan gol menewaskan Mendoza.

Tidak cukup dengan itu, sedikit kealpaan KL City FC, membuka ruang untuk Forestieri bertindak melencong bola ke penjuru kiri gawang menewaskan Mendoza untuk meletakkan JDT selesa mendahului 2-0 pada minit ke 31.

Ketika aksi berbaki enam minit untuk ditamatkan pemain gantian Afiq Fazail meranapkan sisa perjuangan KL City FC apabila melakukan sepakan voli di luar kotak penalti menyaksikan Mendoza tergamam melihat bola menerjah jaringan dan kedudukan 3-0 yang memihak JDT kekal sehingga tamat perlawanan.

Tamat