Mesra disapa Abang Viva walaupun kini sudah memandu Mitsubishi Triton hasil sumbangan individu bagi memudahkan beliau melakukan kerja sukarelawan.

Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar 30 kini mula bergerak ke Terengganu dalam usahanya membantu mangsa banjir.

“Banjir di Terengganu merupakan misi pertama saya dengan kenderaan ini. Dengan kenderaan baharu ini, saya rasa lebih bersemangat kerana banyak tempat saya boleh masuk.

“Kalau Viva sebelum ini, banyak tempat tidak boleh (masuk),” katanya kepada pemberita di Kampung Belukar Bukit di sini, hari ini.

Menurut Azwan, beliau bertolak dari Melaka kira-kira 9 malam semalam dan tiba di Kampung Pengkalan Ajal di Hulu Terengganu yang terjejas teruk akibat banjir pada 4.50 pagi hari ini.

Misi bantuan kali ini juga agak berlainan kerana Azwan tidak lagi bersendirian, sebaliknya ditemani empat rakan yang memandu tiga kenderaan pacuan empat roda serta membawa tiga bot.

Beliau pada masa sama mengakui ramai pihak yang menghubungi untuk turut sama menghulurkan bantuan serta kerjasama orang ramai.

“Rasa segan itu ada tetapi lebih bersemangat kerana saya senang dapat maklumat dan minta tolong orang kampung,” katanya yang sering menerima tepukan dan sorakan mangsa banjir yang diselamatkan serta penduduk setempat.

Menurutnya, setelah keadaan banjir di Terengganu reda, dia akan meneruskan misi ke Kelantan sekiranya keadaan di sana memerlukan bantuannya.

Tamat