Sekiranya tidak diselesaikan masalah sistem perparitan dan saliran secepat dan seefisyen mungkin pastinya banjir kilat mulai melanda serta menghantui penduduk sekitar.

Akibat bimbang masalah banjir yang sering melanda negara saban hari ini, terutamanya sekitar Parit Yaani, Batu Pahat, Johor, calon Perikatan Nasional (PN), Ahmad Nawfal Mahfodz yang bertanding di kerusi Parit Yaani mahu terus perkara ini diselaikan bagi menyelamatkan penduduk sekitarnya.

Anak muda berusia 38 tahun ini sedar, jika dua isu utama itu ditangani secara berkesan, secara tidak langsung akan membantu mengatasi masalah banjir kilat.

“Kedua-dua perkara ini patut disegerakan. Jika dua perkara ini diselesaikan, kita akan dapat menangani isu banjir kilat di kawasan ini terutama di Parit Besar.

“Masalah ini sampai sekarang masih tiada penyelesaian, oleh itu, penduduk perlukan perubahan baru supaya kawasan ini selamat daripada banjir”, katanya.

Sebagai kawasan yang dikategorikan sebagai pinggir bandar, katanya kawasan ini sepatutnya turut menerima limpahan ekonomi dari kawasan bandar, namun isu pengurusan kemudahan asas perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Kita sebenarnya berada di pinggiran bandar dan sangat strategik untuk menerima limpahan ekonomi. Ia sepatutnya masuk dengan baik jika beberapa perkara asas penting diutamakan dan inilah yang akan menjadi tumpuan saya untuk diketengahkan.

“Contohnya peluang perniagaan Industri Kecil Sederhana (IKS). Saya melihat kepada pola maysrakat setempat. Peluang perlu diberikan kepada anak muda dengan komponen anak muda wanita.

“Mereka ada peluang yang sangat baik dan kita bercadang untuk mengadakan latihan atau kursus yang boleh melonjakkan peluang ini,” katanya.

Namun, pada masa sama, katanya perkara itu juga perlu bergerak seiring dengan penyediaan lebih banyak kemudahan asas sistem perbankan, termasuk kiosk dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Katanya, walaupun pada ketika ini banyak urusan perniagaan dijalankan secara dalam talian, tetapi masyarakat tetap perlu meraikan golongan yang memerlukan atau berniaga secara tunai.

“Sebenarnya mereka juga tidak kahu ketinggalan. Apabila ada lebih banyak kiosk bank tadi, masyarakat di sini boleh mendapatkan penerangan lebih jelas, boleh menggalakkan mereka beralih kepada perbelanjaan tanpa tunai.

“Kita perlu akur, kawasan ini juga adalah kawasan industri, ramai pekerja asing menggunakan mesin ATM,” katanya.

Tamat