PETALING JAYA – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM100 juta bersama ARJ Holding L.L.C. yang berpangkalan di Dubai.

Pemeteraian MOU tersebut adalah untuk kerjasama dalam perniagaan ternakan ruminan, perdagangan minyak masak dan pembuatan selulos daripada bahan biojisim.

Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Sylvester Entri Muran berkata, kerjasama itu menandakan titik permulaan peluang perniagaan secara besar-besaran melalui teknologi bagi memacu pertanian lestari antara kedua-dua negara.

Nafas percaya kerjasama sebegini akan digunakan untuk faedah bersama dan menyumbang kepada penambahbaikan aktiviti yang dipersetujui.

“Kami dan ARJ Holding akan menyediakan pengaturan terperinci dalam mengenal pasti tanggungjawab masing-masing untuk melaksanakan perjanjian yang terdiri daripada perbincangan, perancangan strategi pelaburan dan pelaksanaan aktiviti pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Majlis menandatangani MoU diadakan di Dubai sempena Ming­gu Pertanian Lestari Malaysia di Expo 2020 Dubai baru-baru ini.

Turut hadir Presiden Kumpulan ARJ Holdings, Shahab Ahmed Ramadhan Juma serta Ahli Jemaah Pengarah Nafas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Nafas, Mohammad Bahrin Abd Karim.

Selain itu, Entri Muran me­nerangkan, kerjasama tersebut adalah satu inisiatif penting yang dapat memacu dan meningkatkan peluang pelaburan dan kerjasama dalam pertanian lestari.

Tambah beliau, pihaknya juga akan berusaha mengambil langkah bagi menggalakkan kerjasama dalam menjalankan aktiviti pelaburan yang ­menguntungkan dan meningkatkan si­nergi antara kedua-dua pihak mengikut kesesuaian semasa.

Nafas berada di Ekspo 2020 Dubai dari 20 hingga 26 Februa­ri lalu di Pavilion Malaysia yang dihoskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dengan Malaysian Bioeconomy Development Corporation sebagai agensi pelaksanaan.

Pelbagai program menarik dianjurkan Nafas termasuk sesi pocket talk, padanan perniagaan, pengenalan produk Peladang serta demo masakan oleh cef.

Tamat

Credit – KOSMO