Kali ini, Jabatan Kesihatan Negeri Johor JKNJ bukan sekadar cakap kosong tetapi benar-benar datang untuk memeriksa aplikasi MySejahtera sewaktu ceramah mana-mana parti politik bertanding.

Bukan sekadar itu, pihak PDRM turut serta dalam memastikan setiap aktiviti hanya dibenarkan selama dua jam dan tidak melebihi jam 10 malam.

Hanya individu lengkap divaksinasi dibenar hadir dengan penganjur perlu mendapatkan permit daripada PDRM.

Bagaimanapun, tiada pengunjung dikompaun berikutan penguat kuasa bertugas yang hadir hanya memberi peringatan supaya mereka mematuhi SOP ditetapkan.

Pada 18 Februari lalu, penganjuran ceramah, syarahan atau kempen di PRN Johor dilaporkan dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menetapkan penganjur, urus setia, penceramah dan peserta dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter di antara satu sama lain serta memakai pelitup muka.

Semua yang hadir juga perlu mengimbas kod QR MySejahtera atau mencatat kehadiran termasuk nama, nombor telefon dan masa, dalam buku disediakan.

Tamat