Bedilan roket tentera Russia kini tepat ke sasaran bandar-bandar utama di sekitar Ukraine. Ukraine seakan tiada harapan untuk bangun kembali apabila bangunan utama kerajaan kelihatan musnah melalui kempen pencerobohan yang dilancarkan Vladimir Putin.

Rusia turut mengesahkan tenteranya kini menawan pelabuhan Laut Hitam, Kherson pada hari ketujuh pencerobohan Moscow, manakala artileri Rusia berkumpul di luar Kyiv hingga menimbulkan kebimbangan ada serangan yang akan berlaku.

Menurut pihak berkuasa Ukraine, beberapa mangsa dilaporkan terbunuh oleh tembakan di selatan dan timur Ukraine, menambah jumlah kematian orang awam sekurang-kurangnya 350 individu, termasuk 14 kanak-kanak.

Kesan pengeboman Rusia jelas kelihatan di pasar dan kawasan perumahan di Zhytomyr, kira-kira 150 kilometer dari Kyiv, dan di Kharkiv, bandar kedua terbesar di Ukraine.

“Tiada tempat di Kharkiv yang menunjukkan belum diserang peluru,” kata Anton Gerashchenko, penasihat Menteri Dalam Negeri Ukraine, selepas tentera payung terjun Rusia mendarat di bandar itu sebelum subuh.

Di Kyiv, Datuk Bandar Vitali Klitschko berkata musuh sedang menyusun pasukan lebih dekat ke ibu negara.

“Kyiv bertahan dan akan bertahan. Kami akan bertarung,” tambah bekas juara tinju itu.

Tamat