Keadaan di tengah-tengah berlaku peperangan di antara Russia – Ukraine serta polisi Malaysia tidak menerima kapal dagang negara berkenaan untuk berlabuh mulai mencemaskan rakyat apabila pagi ini kelihatan beberapa pesawat pejuang berlegar di udara.

Namun keadaan panik berkenaan mulai redha apabila Tentera Udara Diraja Malaysia TUDM) mengeluarkan kenyataan melaksanakan latihan operasi dan kesiagaan aset-aset udara bermula hari ini hingga 7 Mac membabitkan kawasan sekitar Selangor, Pahang, Terengganu dan Pulau Pinang.

TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan sepanjang latihan berlangsung, pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan tertentu khususnya di sekitar Selangor serta Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu; Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang dan Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM terbang rendah di sepanjang tempoh latihan operasi dan kesiagaan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan latihan yang diadakan itu bagi menilai kecekapan anggota dan Pasukan Khas Udara (PASKAU) serta pasukan sokongan logistik dalam melaksanakan tanggungjawab melindungi kedaulatan negara.

“Latihan ini bertujuan untuk menguji keupayaan peralatan persenjataan serta kesiagaan aset-aset TUDM bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan tugas operasi bersama yang membabitkan pesawat-pesawat dari pelbagai kategori seperti pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter,” menurut kenyataan itu.

Tamat