“Saya tahu ada kedai runcit jual nombor ekor sebab ada yang beli di sana, tunggu sat (kejap) tak kena tak apa, kalau kena tangkap makan tak habis,” itu antara amaran keras yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kepada pemilik kedai runcit yang berselindung menjual nombor ekor.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan berkompromi sekiranya premis terbabit dikenal pasti terlibat dalam perjudian tersebut dan tidak akan teragak-agak menarik semula lesen perniagaan dan tidak dibenarkan berniaga.

“Saya tahulah cara nak buat macam mana untuk banteras aktiviti perjudian di Kedah. Ini termasuk yang berselindung di sebalik kedai kafe siber tetapi aktiviti sebenarnya adalah premis judi secara dalam talian, ini pun kita sedang teliti.

“Kalau kedai tersebut kena tangkap ada jual nombor ekor, sekali dengan kedai kita arah tutup. Berhentilah sebelum ditangkap kalau tak mahu kedai ditutup,” katanya dengan tegas.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah akan dijadikan negeri tanpa judi, sama ada nombor ekor mahupun judi cyber.

Oleh itu kerajaan negeri mempunyai pendekatan tersendiri bagi memastikan apa yang dikuatkuasakan di negeri ini dilaksanakan dengan jayanya.

“Kita akan lawan habis-habisan, kalau tak mahu kedai kena tutup, hentikan segera aktiviti judi.

“Saya beruntung sebab dapat sokongan berterusan daripada semua pegawai kerajaan dan Pegawai Daerah berhubung isu ini,” katanya.

Tamat