Luluh hati apabila mendengar kenyataan daripada mangsa banjir di sekitar DUN Buluh Gading apabila rumah mereka rosak ditenggelami air.

Bagi mereka, sumbangan daripada orang ramai, syarikat korporat amatlah diperlukan dalam usaha membina semula hidup baru selepas dua kali ditimpa banjir kurang daripada enam bulan.

Rata-rata mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang menyampaikan sumbangan banjir.

Sementara itu, Dr Khairuddin yang juga Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berkata, pihaknya sedaya upaya akan membantu mangsa banjir supaya mendapat kembali kehidupan normal mereka.

“Inisiatif ini merupakan salah satu program CSR yang dianjurkan PAAB dalam membantu mangsa banjir, supaya kehidupan kembali normal.

“Bukan mudah terpaksa mengharungi keadaan banjir selama dua kali sewaktu hujung tahun dan Februari ini jadi sebagai saudara seagama kita perlu bantu mereka,” katanya.

Menurutnya seramai 96 buah keluarga dari Dun Buluh Gading semalam menerima sumbangan banjir daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) Pusat Pemindahan Sementara SK Banggol Peradong.

Dalam masa sama, Dr Khairuddin turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir daripada DUN Seberang Takir dan Bukit Tunggal di Masjid Seberang Takir.

Penerima sumbangan merupakan mangsa banjir yang berpindah dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat ketika dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Tamat