16 anggota bomba bertindak sebagai ‘hero’ apabila menyelamatkan 100 mangsa banjir kilat di Kampung Pasir, tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima sembilan kes di seluruh ibu kota berkaitan banjir kilat.

“Antara kes yang diterima membabitkan sebuah taska di Cheras yang dinaiki air dan menyebabkan tebing tanah runtuh di premis berkenaan.

“Dalam operasi itu, kami berjaya membawa keluar 40 kanak-kanak yang juga murid di taska berkenaan serta guru selain memantau kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihak bomba juga memindahkan orang awam di Jalan Raja Bot, Kampung Sungai Periuk dan Kampung Baru selepas kawasan itu dinaiki air setinggi tiga meter.

“Mangsa dipindahkan ke pusat perpindahan sementara (PPS) Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru. Keadaan di lokasi terbabit dilaporkan sudah stabil selepas air surut.

“Selain itu, banjir kilat setinggi dua meter dilaporkan di Jalan Kuchai Lama yang menyebabkan 12 kereta terperangkap dengan ada mangsa berdiri di atas bumbung kenderaan sebelum diselamatkan pihak bomba,” katanya.

Katanya, selain itu, banjir kilat juga dilaporkan berlaku di Jalan Air Keroh-Air Panas, Setapak; Jalan Leboh Ampang; Taman Salak Selatan; Taman U-Thant, Jalan Ampang dan Taman Sri Petaling.

Tamat