Masalah air termenung di Rantau Panjang, Pasir Panjang, dan Pasir Mas serta Tumpat kini diatasi menggunakan kaedah pam air bergerak bagi mengeringkan kawasan berkenaan.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, oleh itu beberapa unit pam berkenaan ditempatkan di lokasi-lokasi dikenalpasti bagi mengatasi masalah air termenung.

“Saya sudah meminta supaya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membekalkan pam bergerak di kawasan air termenung.

“Usaha itu dalam tindakan dan banjir akan mengambil masa untuk kering selain mewujudkan sistem pam paip di kawasan yang biasa terjadi banjir termenung dan menyelenggara sistem pintu air atau pam yang lebih baik,” katanya.

Pada masa sama beliau turut memohon peruntukan sebanyak RM16 juta bagi tujuan menyelenggara pintu air di sistem saliran dan pengairan termasuk di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) terutama di Kemasin-Semerak yang melibatkan 90 peratus tanaman padi musnah akibat banjir.

Menurutnya, mangsa banjir di setiap negeri termasuk Kelantan juga layak menerima ganti rugi bagi kerosakan rumah, tanaman dan kenderaan akibat bencana itu.

“Setiap mangsa banjir akan menerima wang ihsan RM1,000 manakala bagi mereka yang rumah rosak 100 peratus akibat bencana itu akan menerima bantuan sebuah rumah baharu,” katanya.

Oleh itu, mangsa banjir boleh mengemukakan permohonan bantuan kepada pemimpin setempat atau ketua kampung masing-masing selain agihan bantuan yang dilakukan melalui rekod nama mangsa yang berpindah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) semasa banjir.

Tamat