Kemudahan lokar daripada Kementerian Pendidikan (KPM) bakal jadi penyelesaian isu beg sekolah berat terutamanya bagi pelajar sekolah rendah.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, penyediaan kemudahan itu membabitkan sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi dalam satu hari.

Beliau berkata, fasa satu akan melibatkan penyediaan lokar untuk murid Tahap Satu iaitu Tahun Satu, Tahun Dua dan Tahun Tiga melibatkan 10,662 kelas dengan murid berjumlah 323,186 orang.

“Jumlah anggaran peruntukan tahun 2022 untuk fasa satu adalah sebanyak RM37.3 juta. Bagi fasa dua pula, penyediaan lokar akan diperluaskan kepada murid Tahap Dua, iaitu Tahun Empat, Tahun Lima dan Tahun Enam di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi. Pelaksanaan dijangka pada tahun 2023.

“Bagi sekolah satu sesi pula, murid akan menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada semalam.

Pada masa sama, KPm turut mengambil langkah bagi menetapkan semula pelaksanaan penyusunan semula jadual waktu iaitu dengan menghadkan jadual waktu yang mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran sehari.

Mohd Radzi berkata, dalam konteks ini pihak sekolah perlu mengambil kira pelaksanaannya dengan mengambil kira pemberatan subjek, ketersediaan guru dan juga sesi persekolahan.

“Di samping itu, sekolah akan diberi kelonggaran untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu sebagaimana yang sedang dilaksanakan oleh sebilangan sekolah bawah KPM,” katanya.

Selain itu, setiap murid juga tidak dibenarkan membawa melebihi dua buku latihan bagi setiap mata pelajaran pada satu-satu masa dan setiap buku latihan hendaklah tidak melebihi 80 muka surat.

Katanya, murid juga hanya dibenarkan untuk menggunakan buku aktiviti yang disediakan oleh KPM manakala buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Ketetapan kelima adalah penerbitan baharu buku teks dalam format digital secara berterusan. Sehingga kini, sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa). Murid yang mempunyai peranti boleh mengakses buku teks digital melalui pelantar DELIMa.

“Seterusnya, guru digalakkan menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid iaitu pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (virtual lab) atau pembelajaran terbeza,” katanya.

KPM juga akan bekerjasama dengan dengan pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) bagi aspek penyelarasan uniform agar murid diberi kelonggaran untuk memakai uniform sekolah masing-masing semasa sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Oleh itu, Mohd Radzi memberi jaminan bahawa pihaknya akan memantau rapi pelaksanaan semua pendekatan yang ditetapkan menerusi penubuhan sebuah pasukan petugas yang akan melaporkan secara berkala pelaksanaan inisiatif untuk mengurangkan beban beg berat murid.

“KPM juga akan terus meningkatkan kerjasama erat dengan ibu bapa dan penjaga bagi membantu menangani masalah beg berat murid,khususnya dalam memastikan murid membawa buku mengikut jadual ditetapkan. Sesi libat urus dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan turut ditingkatkan sebagai satu pendekatan pemantauan,” katanya.

Tamat