Latihan situasi berulang kali mampu membuatkan dua anggota polis ini kelak tenang dalam membuat tindakan untuk keluar daripada kereta peronda polis (MPV) yang hanyut dalam kejadian banjir berdekatan Pondok Polis Kuchai Lama, dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 3.30 petang ketika dua anggota dari Cawangan MPV daerah berhenti untuk solat Zohor di pondok berkenaan.

“Ketika itu hujan turun dengan lebat beserta ribut petir menyebabkan banjir kilat berlaku di kawasan tersebut.

“Kedua-dua anggota berkenan berusaha untuk keluar dari tempat bencana, namun gagal kerana terdapat halangan daripada kenderaan-kenderaan lain yang turut sama terperangkap di lokasi.

“Melihat kedudukan air yang naik secara mendadak telah memaksa kedua-dua mereka keluar daripada MPV jenis Honda Civic untuk menyelamatkan diri,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi.

Menurutnya, sebaik mereka keluar, kenderaan berkenaan mula dihanyutkan oleh arus banjir yang deras.

“Kedua-dua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan dan segera memaklumkan kejadian kepada pusat kawalan daerah untuk tindakan selanjutnya.

“Sebaik banjir beransur surut, kenderaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tamat