Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali memberi teguran pedas terus kepada penganjur program yang menghidangkan tarian bogel kepada tetamu kerana ianya tidak sensitif dengan apa yang sedang berlaku.

Menurutnya seharusnya penganjur perlu membuat kajian terlebih dahulu berkenaan adab dan budaya ketimuran yang digunakan di Malaysia.

Kesal dengan perkara itu, Dr Mohd Khairuddin tegas menyatakan pendiriannya beliau kerana memang tidak selayaknya majlis tari-menari ala bogel menjadi hidangan kepada pimpinan politik muslim walaupun penganjurnya adalah bukan Islam.

“Di saat rakyat berhadapan dengan musibah dan diajak untuk bermunajat memohon keampunan kepada ALLAH agar dilepaskan daripada musibah Covid-19, apa yang berlaku mengguris sedikit perasaan rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, kelmarin.

Sebelum ini, tular satu video di media sosial memaparkan beberapa wanita berpakaian seksi dan menari di hadapan pemimpin politik tertinggi Perikatan Nasional (PN) sewaktu Majlis Makan Malam dan Persembahan Tarian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC), Johor Bahru.

Mereka itu termasuk Pengerusi PN merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

Sehubungan itu, Mohd Khairuddin meminta agar pihak terlibat segera tampil membuat permohonan maaf rasmi kepada rakyat kerana ia juga menjejaskan nama rakan kerjasama politik di saat kempen pilihan raya sedang hangat berlangsung.

“Pahit tetapi teguran perlu dibuat agar masyarat dapat menilai prinsip PN yang jelas berkaitan Islam,” katanya.

Tamat