Pastinya ramai teruja apabila melihat susuk tubuh sang saka biru popular Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Pusat Mengundi Awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Mantan Ketua Polis Johor itu, tiba sekitar jam 9.30 pagi di Dewan Datuk Onn, IPK Johor untuk membuang undi.

Hadir mengiringi Pengarah JSJN itu ialah Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan timbalannya, Datuk Khaw Kok Chin.

Pada masa sama Ayob Khan yang ditemui berkata, perjalanan proses mengundi awal berjalan lancar, teratur dan tersusun tanpa sebarang masalah.

“Saya tidak sempat tukar alamat kerana memerlukan tempoh tiga bulan untuk menukar alamat tempat mengundi. Selepas ini saya akan tukar alamat,” katanya.

IPK Johor adalah pusat mengundi awal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang dengan dua saluran.

Undi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membabitkan 11, 576 pegawai dan anggota polis serta pasangan, manakala 10, 955 pula pegawai dan anggota tentera serta pasangan.

Tamat