Seorang lelaki dikhuatiri terperangkap dalam kejadian runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 9.40 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Setibanya anggota di lokasi kejadian, pengurus kuari memaklumkan terdapat empat mangsa namun dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri manakala seorang cedera parah dan seorang lagi dilaporkan hilang.

“Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dipanggil untuk membantu operasi mencari mangsa yang dikhuatiri tertimbus batu kuari,” katanya di sini hari ini.