Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri semalam sempena Hari Wanita membuktikan Malaysia mengambil berat hal wanita terutamanya golongan ibu tunggal yang baru kematian suami.

Menurut Perdana Menteri, setiap ketua jabatan dan pengurusan tertinggi semua organisasi diwajibkan membenarkan wanita yang kematian suami untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam tempoh bersesuaian bagi membolehkan urusan keluarga serta peninggalan suami diselesaikan.

“Galakan untuk membenarkan wanita kematian suami bekerja dari rumah adalah kerana kita memahami kesedihan dan bebanan yang ditanggungnya dan mereka memerlukan masa untuk menguruskan hal berkaitan keluarga dan urusan selepas kematian pasangan.

“Ini kerana pemerkasaan wanita akan terus menjadi satu agenda penting negara dan agenda itu adalah tanggungjawab bersama semua pihak dan bukan hanya dipikul Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Dalam hal ini, saya ingin memuji peranan serta inisiatif yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi dalam membantu membangun, memperkasa, mengiktiraf kebolehan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negara,” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Wanita 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Ismail Sabri berkata, usaha untuk memperkasakan wanita memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pemegang taruh bagi menjayakannya.

“Saya menyeru agar perspektif wanita sentiasa diambil kira dalam penggubalan dasar dan perancangan program bagi memastikan wanita mendapat ruang dan peluang yang adil dalam pembangunan negara,” katanya.

Menurutnya, lima inisiatif lain adalah mengenai penubuhan Majlis Wanita Negara (BDPS), pewujudan Rang Undang-undang Anti Gangguan Seksual (BPPS) dan memantapkan lagi peranan Institusi Hakam di bawah Mahkamah Syariah bagi membantu wanita yang sebelum ini menghadapi proses perceraian yang panjang.

Inisiatif memperkasakan wanita juga adalah melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dengan memperkenalkan Akta Pembiayaan Kewangan yang mana pihak bank boleh membekukan akaun bank suami atas arahan mahkamah.

Menerusi akta itu, katanya, pihak bank dibenarkan membuat bayaran daripada akaun suami yang sudah dibekukan kepada isteri sekiranya isteri ada membuat tuntutan membabitkan wang ringgit di mahkamah.

Kaedah ini dikenali sebagai Hiwalah.

Inisiatif seterusnya adalah mewajibkan sambutan Hari Wanita dilaksanakan pada 8 Mac setiap tahun di semua peringkat sama ada persekutuan mahupun negeri bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita.

Pada majlis itu, dua wanita diiktiraf sebagai ikon wanita dengan Zamanila Tukiman dipilih sebagai Ikon Wanita (Ekonomi) dan Prof Dr Saedah Siraj sebagai Ikon Wanita (Pendidikan).

Tamat