Statistik dunia menunjukkan Rusia kini menjadi negara yang menghadapi paling banyak sekatan dunia dalam masa dua minggu ini susulan berlakunya konflik dengan negara jirannya Ukraine.

Data terkini menunjukkan Rusia dikenakan 2,778 sekatan baharu dalam masa kurang dua minggu sejak Presiden Rusia Vladimir Putin melancarkan operasi ketenteraan terhadap Ukraine, menjadikan jumlah keseluruhan 5,532, memetik data Castellum.ai.

Sebagai perbandingan, Iran berdepan 3,616 sekatan, diikuti Syria dan Korea Utara, masing-masing 2,608 dan 2,077 sekatan, lapor Agensi Anadolu.

Sementara itu Venezuela dengan 651 sekatan, Myanmar (510) dan Cuba (208).

Negara yang paling banyak mengenakan sekatan terhadap Moscow ialah Switzerland iaitu 568 sekatan.

Diikuti Kesatuan Eropah dengan 518 sekatan, Perancis (512), Kanada (454), Australia (413) dan Amerika Syarikat (243).

Sekatan itu termasuk melibatkan 2,427 individu, 343 organisasi, enam kapal dan dua pesawat.

Walaubagaimanapun presidennya Putin pada Sabtu berkata, sekatan Barat terhadap Rusia umpama ‘pengisytiharan perang’.

Konflik Rusia-Ukraine yang bermula pada 24 Februari, telah mengundang kecaman antarabangsa selain mengakibatkan Moscow dikenakan sekatan kewangan. Barat juga telah mengenakan sekatan eksport ke atas teknologi utama yang kini dilarang dihantar ke Rusia.

Tamat