Malang tidak berbau, itulah yang dapat diperkatakan apabila melihat lapan kenderaan hancur ranap selepas dihempap lapan bongkah batu yang jatuh dari sebuah bukit di Pangsapuri Taman Bukit Permai, Pandan Indah semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.30 pagi.

“Kami dimaklumkan oleh seorang lelaki tempatan terdapat bongkah batu jatuh dari bukit dan menghempap kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir terbabit.

“Pihak polis yang pergi ke lokasi kejadian mendapati terdapat lapan bongkah batu menghempap lapan kenderaan,” katanya dalam kenyataan, tadi.

Menurut Mohamad Farouk berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu yang turut dihadiri agensi lain iaitu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan pihak bomba.

“Siasatan awal dilakukan polis mendapati kejadian itu tidak mempunyai sebarang unsur khianat atau disengajakan hasil pemeriksaan bomba serta MPAJ di kawasan terbabit dan kejadian itu berlaku disebabkan bencana alam.

“Bagi laporan polis, kes ini tidak dibuka sebarang kertas siasatan dan akan dirujuk kepada agensi lain.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan tidak meletakkan kenderaan di bawah bukit atau pokok kerana kekerapan berlaku pokok tumbang atau tanah runtuh yang disebabkan oleh angin kencang dan hujan lebat,” katanya.

Tamat