LANGKAWI: Kerajaan perlu segera mencari kawasan baharu untuk penduduk Bukit Malut di sini, kerana penempatan tersebut semakin padat dan tidak selamat sekiranya berlaku bencana seperti kebakaran.

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penduduk terlibat perlu diberikan tempat baharu sebelum kerajaan negeri merobohkan rumah yang didirikan secara haram di tanah kerajaan negeri dan swasta itu.

“Semua rumah dekat-dekat, kalau jadi kebakaran, teruklah. Semua sekali terbakar dan ramai tak boleh nak lari pun, pasal tak ada buat jalan untuk bomba,” katanya ketika ditemui selepas melawat Lang Agro Farm di Kampung Padang Gaong, Ulu Melaka di sini, semalam.

Namun katanya, penduduk terlibat perlu diberikan tempat baharu sebelum kerajaan negeri merobohkan rumah yang didirikan secara haram di tanah kerajaan negeri dan swasta itu.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau sekalipun ahli Parlimen tidak boleh buat apa-apa kerana tidak ada peruntukan yang mencukupi dan kuasa.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, penduduk di perkampungan haram Bukit Malut kecewa terhadap kerajaan negeri yang lambat bertindak dalam menyelesaikan isu penempatan di kawasan itu yang semakin padat.

Sementara itu, beliau berpendapat, kerajaan tidak sepatutnya membuka sempadan negara kepada negara bermula 1 April ini, sebaliknya menyenaraikan negara-negara yang dibenarkan masuk ke Malaysia secara berperingkat.

“Kita perlu tentukan negara-negara yang kita benar dulu. Negara mana agak disiplin dan mengikut peraturan-peraturan, kita boleh buka untuk negara itu,’’ katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengesahkan tidak bertanding mempertahan kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, keputusan tersebut dibuat atas faktor usia dan kesihatannya yang belum pulih selepas menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini, selain memberi peluang kepada calon baharu yang lebih muda.

Bagaimanapun, tambahnya, bakal calon baharu yang bakal bertanding belum dikenal pasti. – UTUSAN