Barisan Nasional (BN) dijangka menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini dengan menguasai sekurang-kurangnya 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas pelbagai isu berjaya ditangani sejak kempen bermula 26 Februari lalu.

Utusan Malaysia difahamkan parti yang paling lama memerintah negara itu dijangka mampu meraih antara 30 hingga 34 kerusi namun berdepan laluan sukar mencapai majoriti dua pertiga 38 kerusi ekoran tentangan hebat daripada parti-parti pembangkang.

Beberapa isu ‘panas’ berbangkit dalam kempen PRN Johor yang kini sudah terjawab, dipercayai menjadi faktor momentum kepada BN mendahului parti-parti pesaing menjelang pengundian Sabtu ini.

Ads by Kiosked

Pembukaan sempadan 1 April depan yang akhirnya merungkai persoalan kepada rakyat Johor, isu berkisar kebajikan peneroka Felda serta manifesto `air percuma’ dicetuskan parti lawan yang diperjelas kedudukan sebenar kepada pengundi, meletakkan BN sekurang-kurangnya melepasi majoriti mudah 28 kerusi.

Peratusan keluar mengundi turut menjadi penentu kemenangan – jika di bawah 70 peratus berkemungkinan memihak kepada BN khususnya UMNO yang memiliki kekuatan akar umbi.

Seorang pemimpin kanan BN berkata, pecutan akhir jentera menjawab beberapa isu peneroka Felda dan janji-janji dibangkitkan parti lawan di kawasan kelabu termasuk kepada pengundi atas pagar berjaya dilakukan dengan baik.

“Untuk BN melepasi 28 kerusi insya-Allah, (cuma) ke dua pertiga agak sukar,” kata pemimpin berkenaan semalam.

Sementara itu, berdasarkan maklumat war room (bilik perang) beberapa parti, mereka mengakui sukar memecahkan dominasi BN berikutan isu-isu yang dimainkan sepanjang kempen berkisar Pusat, sekali gus kurang menggamit perhatian masyarakat setempat.

“Sentimen atau label `kluster mahkamah’ tiada kaitan dengan calon-calon yang bertanding di Johor. Lagipun kes-kes yang dikaitkan dengan beberapa pemimpin parti sedang diuruskan perbicaraannya oleh mahkamah.

“Masyarakat dan pengundi lebih memikirkan kebajikan mereka selain kestabilan dan kemakmuran negeri,” kata sumber sebuah parti.

Dalam pada itu, difahamkan, kerusi Endau yang dimenangi BN pada PRU14 mungkin sukar dipertahankan memandangkan penyandangnya yang kemudian lompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Alwiyah Talib bertanding lagi di situ atas tiket Perikatan Nasional (PN).

“Pengaruhnya masih kuat dan disenangi pengundi. Cabaran calon BN, Mohd. Youzaimi Yusof mungkin sukar,” kata sumber.

Namun BN dipercayai merampas semula beberapa kerusi yang kalah pada 2018 antaranya Kemelah, Tenang, Tangkak, Semerah dan Kempas.

“Calon PKR, Khuzzan Abu Bakar di Semerah meraih majoriti 98 undi dalam PRU14 tetapi kali ini BN mengetengahkan calon muda dikenali ramai, Mohd. Fared Khalid yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO negeri serta peguam,” katanya.

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) dijangka menang paling maksimum 16 kerusi dengan majoriti disumbangkan oleh kawasan kubu kuat DAP manakala dua dari Parti Amanah Negara (Amanah).

PKR yang menggunakan logo sendiri pula dijangka meraih dua kerusi, sekali gus gabungan PH dan PKR memperoleh 18 kerusi DUN.

Antara kerusi yang akan dimenangi PH adalah Jementah, Bentayang, Skudai, Senai, Johor Jaya dan Yong Peng.

“Kerusi Bukit Batu dan Pemanis pula mungkin menjadi milik PKR,” jelasnya.

Mengenai cabaran PN, tambah sumber, percubaan gabungan Bersatu, Pas dan Gerakan itu untuk menguasai kawasan kelabu khususnya kategori kerusi DUN marginal dan majoriti Melayu dijangka tidak kesampaian.

“Hanya Bukit Kepong, Gambir dan Endau ditandingi Bersatu mampu dimenangi mereka. Pas dan Gerakan sukar menang di Johor.

“Gambir dan Bukit Kepong adalah kubu kuat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Mengenai eksperimen julung kali Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam pilihan raya ini yang mempertaruhkan tujuh kerusi, parti pimpinan Syed Saddiq Abdul Rahman dijangka mampu membuat kejutan di Puteri Wangsa.

“Walaupun calonnya, Amira Aisya Abd Aziz dilihat masih mentah, Muda dipercayai akan mendapat undi daripada para penyokong PH,” kata sumber.

Berdasarkan pengamatan Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong kepada akhbar ini Selasa lalu, beliau sendiri tidak pasti keupayaan Muda untuk menang.

“Kerana sebagai parti baharu, Muda memerlukan masa meraih sokongan, apatah lagi masih dilihat parti suasana bandar.

“Bagi Pas dan parti lain seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) pula, penglibatan mereka tidak memberi kesan kepada keputusan pilihan raya kerana bukanlah faktor besar politik di Johor,” kata Pengerusi DAP Johor itu. – UTUSAN