Eropah dan sekutu kuatnya Amerika Syarikat, semakin bimbang apabila Rusia mengancam untuk memutuskan bekalan minyak ke EU, melalui saluran Nord Stream 1 dan ia bakal menjadi mimpi gelap buat kesatuan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Russia, Alexander Novak berkata, beliau tidak akan teragak-agak bagi mengambil tindakan sedemikian sebagai membalas sekatan-sekatan yang dikenakan terhadap negara berkenaan.

Melalui ucapannya yang disiarkan melalui televisyen, Novak, yang bertanggungjawab bagi tenaga di Russia memberi amaran kenaikan harga bekalan yang melambung melepasi AS$300 (RM1,255) satu tong atau mungkin lebih.

Langkah itu akan meruncingkan lagi bekalan tenaga dan mengakibatkan kenaikan harga bahan api berkenaan.

Novak, berkata, Russia berhak berbuat demikian, seperti mana tindakan yang dikenakan terhadap ekonominya tetapi belum ada keputusan untuk menutup saluran Nord Stream 1, yang masih beroperasi sepenuhnya seperti biasa.

“Namun, ketiadaan minyak Russia dalam pasaran Eropah tidak mungkin dapat digantikan segera dengan sumber lain.

“Ia mungkin mengambil masa lebih setahun dan harganya juga akan lebih mahal bagi pengguna Eropah.

“Pemimpin politik Eropah harus dengan jujur mengingatkan rakyat dan masyarakat pengguna mereka mengenai apa yang bakal mereka hadapi iaitu harga minyak, elektrik untuk kegunaan alat pemanas akan melambung naik,” katanya.

Tamat