Tepat jam 1.55 pagi mangsa kelima tanah runtuh di Taman Bukit Permai akhirnya berjaya ditemui di oleh pasukan operasi dan menyelamat (SAR) awal pagi tadi.

Keadaan hiba dan sedih mula seakan peneman gelap awal pagi operasi berkenaan apabila mangsa terakhir berjaya dikeluarkan daripada runtuhan berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

Terdahulu pada jam 11.30 malam tadi, pasukan SAR berjaya menemui mangsa keempat, iaitu seorang kontraktor Air Selangor yang dilapor sedang menjalankan kerja penyelenggaraan ketika kejadian berlaku kira-kira jam 5.40 petang.

Sebelum itu, berlaku insiden tanah runtuh itu menyebabkan kerosakan 15 unit rumah teres dua tingkat dan 10 kenderaan yang tertimbus.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata penemuan mangsa terakhir itu menjadikan jumlah mereka yang tertimbus ialah lima individu.

“Mangsa pertama ditemui selamat, manakala mangsa kedua yang juga isterinya dijumpai sudah meninggal dunia.

“Operasi SAR diteruskan sehingga membawa kepada penemuan tiga lagi mangsa lelaki yang juga disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya kepada media di lokasi kejadian.

Mohamad Farouk berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor kemudian menjalankan operasi pemeriksaan terakhir selepas penemuan mangsa kelima tragedi itu.

“Untuk peringkat terakhir, sebelum operasi SAR ditamatkan, JBPM Selangor melakukan pemeriksaan teknik ‘Flashing’, iaitu pencarian menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM Selangor.

“Langkah ini adalah untuk membolehkan pasukan penyelamat memastikan tiada lagi mangsa lain yang masih tertimbus tetapi tidak dikenal pasti pada peringkat awal,” katanya.

Susulan itu, operasi SAR ditamatkan kira-kira jam 3 pagi tadi.

Berikutan insiden terbabit, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya mengadakan kawalan penuh 24 jam bagi mengelakkan berlaku sebarang kejadian tidak diingini, selepas sebahagian besar penduduk disarankan berpindah.

Tamat