“Cuaca pagi ini baik dan saya menyeru seluruh rakyat Johor agar dapat keluar mengundi awal,” itu kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya keluar mengundi adalah salah satu tanggungjawab sebagai seorang rakyat yang perlu diambil berat dalam usaha menentukan corak pentadbiran kerajaan.

“Keluarlah mengundi beramai-ramai dan laksanakanlah peluang mengundi ini dengan penuh tanggungjawab.

“Semalam diberitahu di Muar ini sesak. Mungkin petanda baik kerana ramai dari luar sudah pun balik mengundi pada pagi ini.

“Bagi saya, ini adalah satu perkara yang amat penting kerana kalau peratusan jumlah mengundi itu agak rendah, nanti tidak akan mencerminkan hakikat realiti kehendak rakyat di Johor yang saya percaya mahukan satu perubahan dan sebuah kerajaan yang baharu,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar tadi.

Muhyiddin berharap pengundi yang akan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu mencapai sehingga 80 peratus.

Katanya, peratusan jumlah keluar mengundi yang tinggi berkemungkinan akan memberi kelebihan kepada PN.

Muhyiddin dan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba di SMK Sri Muar pada jam 9.05 pagi dan selesai membuang undi pada jam 9.18 pagi.

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut menyeru kepada pengundi untuk keluar mengundi beramai-ramai.

“Ini adalah satu tanggungjawab dan saya harap mereka yang berada di daftar pemilih ini akan beramai-ramai keluar mengundi,” katanya.

Tamat