Sebanyak RM 471 juta diperuntukan dalam usaha membangunkan aset-aset air baharu bagi keperluan rakyat yang semakin bertambah kini.

Pengerusi Pengerusab Aset Air Berhad (PAAB), Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, jumlah berkenaan akan digunakan bagi membangunkan aset-aset air negeri itu.

“Peruntukan sebanyak RM471 juta bagi membangunkan aset-aset air yang baharu untuk mengatasi masalah bekalan air terawat di Kelantan.

“Peruntukan berkenaan termasuk membina 10 loji rawatan air (LRA) baharu dengan kapasiti keseluruhan berjumlah 125 juta liter air sehari (JLH) di seluruh negeri itu,” katanya tadi semasa melawat Loji Rawatan Air Tanjung Mas, Kota Bahru.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur,Pengangkutan Dan Utiliti Negeri Kelantan, Dato Sr. Haji Azami, Mohd Nor.

Pada masa sama, Dr Khairuddin berkata, projek berkenaan bakal memanfaatkan lebih 300,000 penduduk di jajahan Bachok dan Pasir Putih.

“Pembinaan LRA Semerak bakal membekalkan kapasiti air sebanyak 50 JLH yang dijangka siap pada 2026, LRA Chica (20 JLH) , LRA Tanjung Mas (30 JLH), LRA Bukit Chupak 10 JLH.

“Sementara itu 5 LRA mini di Pengkalan Chepa, Bechah Mulong, Kampung Pengkalan Kubor, Kampung Laut dan Kampung Paloh dengan jumlah keseluruhannya berupaya
membekalkan 15 JLH.

“PAAB turut bersetuju untuk menaik taraf LRA sediaada iaitu Merbau Chondong bagi meningkatkan kapasiti daripada 45 JLH kepada 95JLH dan menjalankankerja-kerja menggantikan paip lama sepanjang 378 kilometer merentasi setiap jajahan di Kelantan,” katanya.

Menurutnya pembinaan kesemua projek tersebut akan bermula pada separuh kedua tahun ini dan dijangka siap secara berperingkat antara 2024 sehingga 2026 sekali gus dapat mengurangkan kadar air tidak berhasil serta kos operasi kepada Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

Selain itu PAAB telah melaksanakan beberapa projek seperti pembinaan lima telaga tiub berkapasiti 7.5 JLH di LRA Chicha dan LRA Kampung Puteh di Kota Bharu yang siap sepenuhnya pada 2019 serta pemasangan paip air
baharu dan penggantian paip lama sepanjang 110 kilometer yang berjaya disiapkan sehingga 2021.

Tamat