KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan bahawa satu gempa bumi kuat berukuran 6.7 pada skala Richter melanda Selatan Sumatera, Indonesia pada awal pagi tadi lebih kurang jam 5.09 pagi.

Menurut kenyataan MetMalaysia, gempa itu berlaku pada kedudukan 89 kilometer (km) barat laut dari Siberut, Indonesia dengan kedalaman 10 km.

“Gegaran dirasai di bahagian barat Semenanjung terutama Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, berdasarkan penilaian awal, gempa berkenaan tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

Sementara itu menerusi ciapan di Twitter, MetMalaysia memaklumkan gempa bumi sederhana berukuran 5.7 pada skala Richter turut melanda Selatan Sumatera pada 5.38 pagi, 79 km dari Siberut, Indonesia.

Tamat