Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengaku masih sayangkan PAS, tetap bersama parti berkenaan.

“Alasan berhenti daripada PAS, sukar untuk dijawab, saya sayangkan PAS. Saya ‘kekal PAS’ insya-Allah tetapi bukan sebagai ahli organisasi kekal, tetapi kekal dengan matlamat perjuangan dasar dan tujuan insya-Allah.

“Sementara itu bebas, ahli parlimen bebas. Agak berat untuk saya memohon berhenti tetapi itu peruntukkan perlembagaan yang ada, memohon berhenti dengan sendiri,” katanya ketika sidang media di Parlimen tadi.

Menurutnya beliau surat telah dikemukakan kepada Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, mengikut perlembagaan PAS.

“Merujuk perlembagaan PAS, fasal 15 (1) (a) peberhentian ahli dengan permintaan sendiri.

“Maka dengan ini saya Mohd Khairuddin Aman Razali pemegang nombor keahlian PAS 313899 memohon untuk berhenti daripada menjadi ahli PAS,” katanya.

Pada masa sama, Khairuddin berkata, dia mengucapkan jutaan terima kasih kepada PAS atas peluang menjadi ahli sejak 1989 ketika berumur 16 tahun, iaitu 33 tahun.

Menurutnya beliau diberi peluang menjawat pelbagai jawatan dalam kepimpinan sejak tahun 1999.

“Daripada AJK dan ketua pemuda PAS kawasan hingga jawatankuasa PAS Pusat dan majlis syura ulama dengan jawatan tertinggi dan terakhir sebagai setiausaha Majlis Syura Ulama.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada PAS kerana memberi peluang kepada saya menjadi calon dalam pilihan raya sebanyak dua kali seterusnya menjadi ahli parlimen Kuala Nerus sejak tahun 2013 dan berpeluang menimba pengalaman sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti,” katanya.

Tamat