Musim hujan lebat kini mulai beralih arah ke utara semenanjung menyebabkan 350 penduduk di empat buah kampung di Mukim Sedim dan Karangan terjejas akibat banjir kilat yang melanda kawasan tersebut kira-kira pukul 7 malam semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, antara kampung terlibat ialah Kampung Baru Sedim dalam Mukim Sedim serta Kampung Padang Limau, Kampung Seberang Jaya dan Kampung Banggol Penyengat dalam Mukim Karangan.

“Keadaan air naik begitu pantas, menyebabkan penduduk tidak sempat membuat apa – apa apabila hujan turun lebat secara berterusan bermula jam 4 petang sehingga lebih tiga jam.

“Pihak APM kini sedang melakukan persiapan untuk membuka pusat pemindahan sementara (PPS) di Surau Kampung Tebuan bagi menempatkan mangsa banjir dari Kampung Baru Sedim.

“Setakat ini, sebanyak 12 buah rumah di Kampung Baru Sedim dinaiki air dan kita masih mendapatkan jumlah sebenar mangsa yang akan berpindah,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya bagi Mukim Karangan pula, sebanyak 61 buah rumah terjejas banjir, bagaimanapun tiada PPS dibuka di kawasan berkenaan.

Tamat