“Saya sungguh malu dengan apa yang sudah berlaku selepas sebuah Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) yang kita menang dengan begitu cemerlang sekali di bawah kepimpinan Datuk Seri Hasni Mohammad,” itu kata veteran UMNO Tan Sri Shahrir Samad.

Kenyataan itu susulan daripada polemik yang menimpa UMNO Johor membabitkan jawatan Menteri Besar Johor selepas Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor, mengeluarkan kenyataannya bakal memilih orang muda dalam pentadbiran negeri.

“Melihat kepada sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan Johor dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, saya mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri,” kata Hasni.

Perkara berkenaan membuat Shahir Ahmad terasa hati, sehingga tidak akan hadir pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 pada 16 Mac ini kerana isu membabitkan lantikan Menteri Besar Johor.

“Malu saya, sepanjang kempen saya ketawakan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) serta sekutu mereka yang tidak mampu menamakan calon mereka sebagai menteri besar (MB).

“UMNO sudah pasti dengan Datuk Hasni sebagai MB, tetapi itu tidak cukup kuat dan UMNO Johor tidak mampu lakukan apa-apa.

“Jadi, saya malu hendak ke PAU Malaysia hujung minggu ni. (Kita) boleh dapat mandat rakyat, tapi tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan. Taklah sehebat mana UMNO Johor,” katanya menerusi laman Facebook rasminya, semalam.

Dalam pada itu, Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, beliau hanya mampu terdiam apabila dimaklumkan mengenai polemik terbaharu membabitkan Hasni dan jawatan Menteri Besar yang sepatutnya menjadi miliknya.

“Mula-mula cerita itu sampai ke saya secara bisik-membisik. Saya hanya terdiam.

“Kemudian adanya kenyataan media oleh Hasni. Bahasanya teratur dan sungguh halus.

“Tapi ia mengesahkan secara tersirat akan ada pengganti kepada dirinya bagi jawatan Menteri Besar Johor,” katanya