Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua, itulah nasib sembilan pegawai penguatkuasa agensi awam apabila kantoi menjadi dalang sindiket pengedaran dadah.

Kesemua suspek berkenaan ditahan menerusi tiga serbuan sekitar Johor Bahru, Putrajaya serta Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek yang ditahan merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan 33 hingga 49 tahun.

“Modus operandi sindiket ini dengan menjual semula 50 kilogram (kg) dadah disyaki syabu yang dirampas dalam satu operasi di perairan Selat Melaka kepada pengedar dadah di utara Semenanjung Malaysia.

“Dadah yang dirampas oleh sindiket ini adalah dadah yang cuba diseludup oleh satu sindiket yang bergerak aktif di Banting, Selangor untuk pasaran di Dumai, Indonesia,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Menurutnya, sindiket ini juga dipercayai bekerjasama dengan sindiket dadah lain dan menjadi pemain penting dalam kitaran dadah di negara ini.

“Dalam operasi itu, kita turut merampas baki 5.3kg dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM193,590 yang boleh digunakan oleh 26.8 juta penagih dadah.

“Mereka juga menyasarkan pasaran dadah di luar negara kerana harganya yang mahal sebagai contoh, satu kg syabu di pasaran Malaysia bernilai kira-kira RM36,000 manakala di Indonesia RM100,000 dan di Australia pula mencecah RM300,000.

“JSJN turut menyita pelbagai aset sindiket terbabit seperti empat buah kereta dan satu akaun bank bernilai 195,235.78 menjadikan keseluruhan rampasan RM388,825.78.

Ayob Khan berkata, semakan mendapati kesemua suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing dijalankan mendapati empat suspek pejawat awam positif dadah jenis methamphetamine.

“Kesemua suspek kini direman selama 14 hari mulai 7 Mac lalu hingga 20 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“PDRM khususnya JSJN tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah,” katanya.

“Saringan awal mendapati, empat suspek penjawat awam terbabit positif dadah jenis methamphetamine. Kesemua suspek yang ditahan juga tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.

Tamat