Jika tiada angin tak mungkin pokok Akan bergoyang, itulah yang dapat disimpulkan apabila wujud desas-desus mengatakan Datuk Onn Hafiz Ghazi bakal dilantik menjadi Menteri Besar Johor yang baru.

Menurut sumber BN, berita berkenaan Onn Hafiz mahu diangkat menjadi Menteri Besar Johor sudah mula kedengaran sejak menjelang PRN Johor lagi.

“Namun ia reda sebentar di sebalik kebimbangan sesetengah pemimpin BN ketika kempen, sama ada parti mampu memenangi kerusi mencukupi bagi menubuhkan kerajaan negeri, berikutan kempen Perikatan Nasional (PN) yang sangat agresif.

“Bagaimanapun, apabila BN akhirnya berjaya dengan kejayaan cemerlang meraih 40 kerusi, khabar angin itu (Onn Hafiz jadi MB) bertiup kencang semula kini.

Khabar angin ini bertepatan apabila Datuk Seri Hasni, turut mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin Johor yang disifatkannya mampu memberikan idea dan sumbangan bermakna dalam pembangunan Johor.

Onn Hafiz, 44, adalah cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar dan jika dilantik sebagai Menteri Besar ke-19, beliau mengulangi sejarah moyangnya itu yang memegang jawatan sama selepas dilantik pada 1 Jun 1947.

Beliau juga anak saudara kepada Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Kanan Pertahanan.

Tamat