Kini teka-teki siapa Menteri Besar Johor telahpun terjawab apabila legasi Datuk Inn Jaafar , Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-19 di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, jam tiga petang tadi.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Terdahulu, Onn Hafiz menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, di sini.

Beliau yang sebelum ini memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor amat aktif dalam pergerakan generasi muda.

Onn Hafiz memenangi kerusi DUN Machap dengan meraih 11,029 undi mengetepikan tiga pencabar lain iaitu Azlisham Azahar (Perikatan Nasional), R. Sangaran (Muda) dan Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh (Pejuang).

Tamat