Rumah kata pergi, kubur kata itulah yang dapat ungkapkan apabila umur sudah tua, pastinya hidup diisi dengan amalan ibadat, namun lain pula cerita sebuah flat di Jalan Klang Lama semalam.

Perlakuan jelik seorang lelaki tua dirakam jiran mangsa, apabila lelaki berkenaan mencium bra sambil beronani di sebalik penyidai.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya telah menerima aduan berkenaan lelaki berusia 62 tahun itu pada jam 2.44 petang.

“Seorang lelaki telah mengambil pakaian dalam yang telah dijemur serta mencium dan melakukan perbuatan tidak senonoh,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Amihizam berkata, aksi lelaki itu telah dilihat serta dirakam oleh jiran, sebelum menghubungi mangsa untuk memaklumkan kejadian tersebut.

“Hasil risikan, kita telah menahan suspek di Puchong untuk siasatan lanjut. Satu kertas siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil1955 telah dibuka,” katanya.

Menurut beliau, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Sebarang maklumat mengenai kes jenayah laporkan segera pada polis di Hotline Polis Brickfields di talian 03- 2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.