PETALING JAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pihak kerajaan telah bersetuju membenarkan pengeluaran khas simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurut Ismail Sabri, perkara ini diputuskan selepas mengambil maklum keluhan rakyat yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.
“Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti dari semua pihak mengenai pengeluaran caruman KWSP.
“Justeru, hari ini kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000,” katanya menerusi pengumuman yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen, sebentar tadi.
“Saya merayu kepada semua pencarum agar mengekalkan simpanan kecuali keadaan benar-benar mendesak,” katanya ketika berucap di sidang media khas hari ini.
Beliau menegaskan bahawa keputusan memberi kebenaran pengeluaran caruman KWSP itu adalah keputusan yang sukar kerana ia membabitkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.
Tamat