Belum sempat berbuat apa-apa Amerika Syarikat sudah membayangkan sesuatu yang buruk bakal berlaku sekiranya Rusia dan China bergabung kuasa.

Walaupun ianya belum menjadi realiti Amerika sudahpun memberi amaran ‘Naga Besar’ itu supaya tidak mencampuri sebarang urusan melibatkan peperangan Ukraine – Rusia samada dalam bentuk ketenteraan mahupun sumber kewangan.

Menurut sumber risikan AS, Rusia meminta sokongan ketenteraan dan ekonomi dari China dan beijing dilihat seperti bersedia untuk menghulurkan ‘apa sahaja keperluan yang diminta Rusia’.

“Kami sudah menyatakan secara jelas kepada Beijing bahawa AS tidak akan berdiam diri.

“Kami tidak akan membenarkan mana-mana negara membayar pampasan kepada Rusia atas kerugiannya,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price.

Price berkata demikian selepas Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan bertemu dengan diplomat tertinggi China, Yang Jiechi di Rom.

Seorang pegawai AS memaklumkan pertemuan berlangsung selama tujuh jam itu disifatkan ‘tegang dan serius’.

Dalam pada itu, Moscow menafikan dakwaan AS dengan menegaskan Rusia mempunyai sumber mencukupi untuk memenuhi semua matlamatnya di Ukraine.

Kementerian Luar China pula melabelkan laporan berkaitan bantuan itu sebagai maklumat palsu.

Rundingan lanjut antara wakil Ukraine dan Rusia untuk meredakan krisis itu dijangka diadakan hari ini selepas perbincangan antara kedua-dua pihak semalam menerusi video berakhir tanpa sebarang kemajuan baharu.

Rusia sebelum ini mendakwa Ukraine merancang untuk menggunakan senjata biologi selepas mendedahkan AS membiayai program itu.

Bagaimanapun, dakwaan Rusia tidak mendapat sambutan apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan pihaknya tidak mempunyai bukti bahawa Kyiv memiliki program sedemikian.

Semalam, Moscow membenarkan konvoi pertama dipindahkan dari bandar Mariupol yang dikepung.

“Dalam tempoh dua jam pertama, sebanyak 160 jentera tentera meninggalkan bandar pelabuhan itu,” kata wakil Majlis Perbandaran Mariupol, Andrei Rempel.

Tamat