Pemilik rumah hanya mampu termenung memikirkan tempat tinggal mereka selepas ini akibat 17 rumah hangus dalam satu tragedi kebakaran di Bukit Malut semalam pada jam 6.30 petang semalam.

Menurut sumber berkata api dipercayai bermula dari salah sebuah rumah penduduk sebelum merebak dan memusnahkan kediaman berhampiran.

Api dilaporkan merebak cepat berikutan kedudukan rumah terlalu rapat antara satu sama lain selain cuaca kering dan berangin.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu apabila semua penghuni sempat keluar rumah bagi menyelamatkan diri.

Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Langkawi, Fadzlullah Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.47 petang.

“Sejurus menerima laporan, empat jentera termasuk jentera tangki air berserta tiga pegawai serta 20 anggota dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kita mendapati beberapa rumah penduduk di kawasan Bukit Malut sedang terbakar sebelum usaha mengawal kebakaran dilakukan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Fadzullah berkata, pihaknya menganggarkan setiap rumah yang terbakar mempunyai keluasan kira-kira enam meter panjang dan lebar sembilan meter.

Beliau berkata, api dapat dikawal pada 7.47 malam dan usaha memadamkan sisa kebakaran masih dijalankan di lokasi kejadian.

Tamat