Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengarahkan Rusia supaya menghentikan pencerobohan di Ukraine.

Lapor agensi berita Anadolu, keputusan itu dibuat melibatkan 13 undi yang menyokong berbanding dua menolak peperangan di Ukraine dihentikan.

Bahagian kedua keputusan itu juga dimuktamadkan dengan undi yang sama.

Berdasarkan keputusan itu, Rusia hendaklah memastikan mana-mana tentera atau unit bersenjata dan mana-mana organisasi serta individu yang mungkin tertakluk kepada arahan Persekutuan Rusia perlulah menghentikan operasi ketenteraan di Ukraine.

Selainn itu, ICJ turut sebulat suara memutuskan bahawa Rusia dan Ukraine hendaklah ‘mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memburukkan atau melanjutkan konflik’.

Mahkamah itu memutuskan, Ukraine mempunyai hak untuk tidak dikenakan operasi ketenteraan oleh Rusia bagi tujuan mencegah kematian penduduk di wilayah negara itu.

Rusia sebelum ini memboikot perbicaraan di ICJ dan mahkamah itu menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Moscow.

ICJ menegaskan, ketidakhadiran Rusia dalam prosiding yang ditetapkan memberi kesan buruk terhadap pentadbiran yang baik.